Taman Pantun UKM dibuka kepada orang ramai bermula Khamis

Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan ShahabudinKUALA LUMPUR: Peminat pantun tanah air berpeluang menghayati pantun pelbagai tema dan genre sambil menikmati kesegaran udara dan kehijauan tumbuhan di Taman Pantun Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi yang akan dirasmikan Khamis ini.

Berkonsepkan sebagai laman ilmu, papan tanda memaparkan pelbagai jenis pantun diletak di pangkal setiap 119 batang pokok yang merangkumi pokok buah-buahan, herba dan pokok hiasan di taman itu.

Penolong Pendaftar Pusat Komunikasi Korporat UKM, Nastura Nasir berkata, taman pantun itu yang memaparkan keunikan himpunan khazanah pantun Melayu yang pada asalnya bekas tapak sebuah kampung tradisional, kemudian dikosongkan untuk projek pembangunan Universiti pada awal 1960an dan kini sepenuhnya di bawah jagaan UKM.

"Taman itu yang didirikan di kampus induk UKM di Bangi pada akhir 1970an dan dinaik taraf pada 2011 mampu menarik minat pencinta alam kerana keindahan dan kelestarian alam yang terdapat di sekitarnya," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keindahan taman itu dilengkapi dengan sebuah istana warisan kerabat diraja Kelantan berusia lebih 100 tahun yang dipindahkan oleh Jabatan Muzium & Antikuiti ke kawasan taman itu pada tahun 2000, yang dinamakan Istana Puteri Bongsu.

Katanya, keindahan binaan yang bertingkap keliling terserlah dan tersergam di atas lebih 50 tiang utamanya beserta keunikan ukiran dinding pelbagai motif melengkapkan nilai estika istana tersebut.

"Kini istana ini sedang dinaik taraf untuk dijadikan galeri pantun atau Muzium Warisan Melayu," katanya.

Nastura berkata, taman itu juga dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur lain seperti trek joging, wakaf, tandas dan pentas berbumbung serta sesuai untuk aktiviti rekreasi, riadah, pesta buah-buahan serta lawatan oleh orang awam.

Beliau berkata, perasmian taman itu akan dilakukan Naib Canselor UKM Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.